JOHOR BAHRU -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan merasmikan Kongres Nasional PKR di Johor pada 25 Mei ini.
Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kongres berkenaan dijadualkan berlangsung selama sehari itu selepas ditangguhkan pada akhir tahun lalu.
“Lokasi kongres tersebut tidak berubah mengikut jadual ditetapkan sebelum ini iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.
“Kongres Nasional PKR di Johor Bahru kali ini akan menjadi tumpuan kerana ia berlangsung selepas sehari pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat diadakan.
“Selepas pemilihan berlangsung pasti akan ada muka-muka baharu. Kepimpinan baharu yang akan bantu Presiden ketika Kongres Nasional PKR di Johor Bahru,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir dalam Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 Bersama PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Taufiq Ismail dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Sebelum ini, kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru manakala Kongres AMK dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.
Pada 30 November tahun lalu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 selepas keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat parti, ekoran banjir di beberapa negeri termasuk Johor, ketika itu.
MPP PKR ketika itu turut memutuskan satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti diadakan di Shah Alam pada 15 Disember lalu.- MalaysiaGazette