MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez telah menyelar rancangan Presiden Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza dan berikrar untuk memerangi idea tersebut.
Sanchez yang berucap ada perhimpunan di wilayah Basque pada hari Sabtu berkata, Sepanyol tidak akan membenarkan cita-cita Trump untuk menjadikan Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah”.
“Tiada operasi hartanah boleh menutup aib, jenayah terhadap kemanusiaan… yang kita lihat di Gaza sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
“Kita tidak sepatutnya membenarkannya. Dan dari Sepanyol, kami tidak akan membenarkannya,” tambah pemimpin dari Parti Sosialis Sepanyol.
Awal bulan ini, Trump mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil “pemilikan” Semenanjung Gaza dan menjadikannya hab pelancongan, satu langkah yang akan menggantikan penduduk Palestin di wilayah yang dilanda perang secara kekal.
“AS. akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan melakukan tugas-tugas di situ,” kata Trump yang juga seorang pelabur hartanah pada sidang akhbar dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Washington.
Kenyataan itu mencetuskan gelombang kemarahan global, malah dari sekutu Washington di Asia Barat.
Beratus-ratus penunjuk perasaan juga berkumpul di luar White House selepas rancangan itu dibentangkan sambil memberi amaran bahawa wilayah Palestin “tidak untuk dijual.”
Walaupun mendapat tindak balas negatif Trump tetap mengulangi “cadangannya” itu beberapa kali. – Agensi