KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengakui beliau berasa terhina dengan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang menyentuh tentang abu suci yang disapu didahinya sebagai penganut agama Hindu.
Rayer berkata, dia tertanya-tanya kenapa Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadapnya.
Jelasnya, ini kerana beliau sebelum tidak pernah menghina Mufti Perlis itu mahu pun penceramah, Zakir Naik pada sidang media pada 5 Februari lalu.
“Sudah tentu kenyataan-kenyataan itu, saya secara peribadi sebagai penganut agama Hindu yang selalu meletakkan abu putih, suci di dahi saya merasakan bahawa itu satu penghinaan.
“Begitu juga dengan penganut-penganut agama Hindu, banyak sangat response yang saya terima dan saya ingin tanya kepada Dr Maza.
“Kenapa begitu response beliau kerana kalau tuan-tuan hadir pada sidang media saya pada 5 Februari lalu, saya tidak mengeluarkan sebarang tuduhan kepada Dr Maza, saya tidak menghina Dr Maza dan saya juga tidak menghina Dr Zakir Naik, saya tidak menghina siapa-siapa.
“Cuma soalan saya, sebagai Ahli Parlimen adakah larangan terhadap Dr Zakir Naik itu masih lagi berkuatkuasa? Sebab saya tanya kerana Dr Zakir telah meminta maaf di khayalak ramai kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Ada kes penjual jagung sudah pun meminta maaf, adakah Dr Maza sedia meminta maaf?,” kata nya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Ahli Parlimen DAP itu menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.
Rayer membangkit perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.
Pada 6 Februari lalu, Mohd. Asri berkata, beliau sedia untuk bertempur dengan DAP selepas terdapat Ahli Parlimen pemimpin parti Roket itu mempersoalkan program yang dianjurkan oleh Mufti Perlis itu.
Menurutnya, beliau mengambil sikap dan pendekatan berdiam diri dalam menangani kerenah kepimpinan DAP dalam banyak isu kerana menghormati kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Mufti Perlis itu berkata, sikap berdiam diri selama ini terhadap tindak tanduk kepimpinan DAP juga disebabkan kerana mahu mengekalkan kestabilan negara selain menjaga sensitiviti beberapa rakan dalam parti itu.
Sementara itu, dalam video di saluran YouTube rasminya, Mohd Asri berkata, Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk ke majlisnya sama seperti dia tidak pernah mempersoalkan Ahli Parlimen DAP itu apa yang dicalit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.
“Seperti mana saya tidak bertanya apa bahan digunakan untuk menyapu dahinya dan kenapa dia menyapu dahinya, demikian dia tidak perlu bertanya saya siapa yang ingin saya jemput,” kata mufti itu. – MalaysiaGazette