GEORGE TOWN – Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merusuh sesama sendiri menggunakan topi keledar sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian di Batu Feringghi, pada Rabu lalu.

Lima tertuduh, Rahul, 23; Raagendra Marthanveeran, 24; Cheah Dishalan, 24; Yuven Muniandy, 29; dan Saravanan Sariappan, 27, tidak mengaku salah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin.

Bagaimanapun, tertuduh, Arul Kevin Raj Kannan,19, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dituduh secara bersama-sama telah terlibat dalam rusuhan sehingga mendatangkan kecederaan kepada Raagendra, Saravanan dan Yuven dengan menggunakan topi keledar.

Mereka itu didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir kenderaan di Light House, Batu Feringghi di sini, jam 1.32 pagi pada 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai lima tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali manakala tiga tertuduh iaitu  Saravanan, Rahul dan Yuven diwakili peguam, V. Joseph.

Manakala tiga lagi tertuduh iaitu Cheah, Arul Kevin Raj dan Raagendra pula, diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ketika prosiding, Nurul Atikah menawarkan wang jaminan berjumlah RM8,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Joseph kemudian memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada anak guamnya memandangkan masing-masing mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta laporan sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here