AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa campur tangan berhubung hukuman mati terhadap rakyat Malaysia, Pannir Selvam di Singapura yang akan dilaksanakan pada Khamis ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bersama tiga Ahli Parlimen Kerajaan lain berharap Pannir dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan berkaitan kesnya.

Ini kerana menurut beliau, keluarga Pannir telah menerima pengesahan daripada polis bahawa kertas siasatan telah dibuka dan pegawai penyiasat telah dilantik.

“Kami juga berharap agar Pannir dibawa pulang ke Malaysia supaya dia dapat memberi maklumat dan memudahkan siasatan kes ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran serta bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthurri Patto.

Pada 2017, Pannir, 30, disabitkan kesalahan kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke Singapura, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia ditahan di pos pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Mengulas lanjut, Ramkarpal menambah, mereka berpendapat Pannir merupakan seorang keldai dadah dan tidak patut digantung mati.

Jelas beliau, sedangkan sindiket dadah di luar masih bebas dan barangkali sedang menyusun strategi baharu untuk merekrut mangsa dari Malaysia bagi membantu mereka membawa bungkusan dadah merentas sempadan tanpa mengetahui kandungannya.

“Memandangkan maklumat dan kerjasama yang telah diberikan oleh Pannir mustahak dan penting dalam proses siasatan di Malaysia maka kami merayu agar negara Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap Pannir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here