Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Individu yang menghina kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, minta maaf sahaja tidak memadai.

“Tidak kira siapa pelakunya tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu notis berunsur perkauman yang tular di media sosial, memaparkan sikap tidak sensitif seorang penjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, baru-baru ini.

Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang yang mana penjaja terbabit meletakkan notis berbunyi:

“Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling.”

Perkataan keling merupakan istilah yang digunakan terhadap masyarakat India.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X semalam berkata, penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda berunsur perkauman, telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.

Peniaga tersebut juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Aaron berkata, permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang malam tadi yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here