Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima) mendesak kerajaan untuk bertindak tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga jagung yang sebelum ini mencetuskan kontroversi berbaur perkauman.

Menurut Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar, tindakan tegas  perlu meskipun individu terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menurutnya, permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi dalam menangani isu sensitif yang menyentuh 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) kerana ia boleh membuka ruang kepada lebih banyak insiden serupa pada masa hadapan.

“Cuba bayangkan jika seorang pembunuh melakukan keganasan dan kemudian meminta maaf secara terbuka. Adakah itu mencukupi atau dianggap selesai? Isu sensitif seperti ini harus dikendalikan dengan lebih keras dan tegas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menyokong pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini menekankan bahawa tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menghina kaum lain, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Beliau (Dr Muhamad Akmal) secara adilnya menyatakan tidak kira siapa pelakunya, tindakan undang-undang harus diambil supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain, ini baru betul,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan sikap segelintir pihak yang terlalu mudah menerima permohonan maaf tanpa mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Sehingga bilakah kita akan terus berdiam diri dan menerima sahaja permohonan maaf? Jika tiada tindakan tegas, sudah pasti perkara ini akan berulang dengan harapan tidak ada sebarang akibat yang perlu ditanggung,” tegasnya.

Sivakumar turut kecewa terhadap pihak berkuasa termasuk Kementerian Perpaduan Negara yang menurutnya sepatutnya memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu-isu sensitif yang menggugat keharmonian rakyat.

“Di manakah Kementerian Perpaduan dalam isu ini? Mereka sepatutnya tegas dan berani dalam pendirian mereka tetapi, mereka tidak melakukannya.

‘Banyak kes berkaitan sensitiviti perkauman telah dibangkitkan sebelum ini namun di manakah laporan tindakan yang telah diambil?” soal beliau.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan bahawa insiden seperti ini akan terus berulang sekiranya tiada mekanisme yang lebih ketat diperkenalkan untuk menangani isu perkauman. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohon maaf tidak memadai, perlu ada tindakan – Akmal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here