PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak dimaklumkan berkenaan perkembangan terkini siasatan berhubung kes melibatkan Datin Seri Pamela Ling.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada polis.
“Kita serahkan kepada pihak polis memandangkan siasatan ini masih lagi aktif dibuat oleh pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi ditanya berkenaan penjelasan kerajaan mengenai kes itu termasuk dakwaan Pamela diculik oleh sekumpulan individu yang memakai pakaian bertera perkataan`polis’.
Sebelum ini, beberapa pihak menuntut penjelasan telus dan terbuka daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes melibatkan Pamela itu memandangkan ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Kehilangan Pamela hampir sebulan lalu yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu pengubahan wang haram itu juga mencetuskan misteri dan tanda tanya.
Beliau merupakan isteri kepada pengasas Kumpulan JoinLand, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor perniagaan di dalam mahupun luar negara.
Berdasarkan laporan, Pamela menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab dari Jalan Cheras menuju ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada pukul 1.29 petang.
Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX berdekatan Pusat Bandar Putra Permai.
Pada 2 Mei lalu, keluarga Pamela mengeluarkan kenyataan media, memohon bantuan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai keberadaan beliau.
Mereka memaklumkan kereta Grab yang dinaiki Pamela dipintas tiga kenderaan tidak dikenali dan dia diarahkan masuk ke salah satu dari kereta berkenaan. – MalaysiaGazette
















