PETALING JAYA – Jiran kepada keluarga Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia tidak melihat Ismanira Abdul Manaf memegang benda lain ketika terserempak dengan wanita itu di tangga Apartmen Idaman, Damansara Damai pada hari kehilangan kanak-kanak berkenaan.
Rashidah Rajali, 37, berkata, Ismanira hanya menggalas beg sekolah ketika berselisih dengan wanita itu pukul 12.15 tengah hari di bahagian bawah Blok R ketika turun dari tingkat satu untuk menjemput dua anaknya pulang dari sekolah pada 5
Disember.
Saksi pendakwaan ke-16 (SP16) menyatakan demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dalam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu.
Namun keterangan tersebut berbeza dengan keterangan seorang pegawai polis di mahkamah ketika merakam percakapan Ismanira yang membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya.
Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, berkata, Ismanira dalam rakaman percakapannya menyatakan pada hari kejadian, dia memegang barang-barang yang baru dibeli di kedua-dua tangannya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah.
Pegawai polis itu berkata, Ismanira memberitahu, dia menaiki tangga dahulu namun menyedari anaknya hilang ketika menoleh ke belakang.
Raja Zaizul: Apa berlaku pada tarikh berkenaan?
Rashidah: Saya buat rutin macam biasa untuk hantar anak ke sekolah. Saya turun dari tingkat satu dan terserempak dengannya di tingkat bawah.
Raja Zaizul: Apa berlaku?
Rashidah: Dia berhenti dan beri laluan, dia tunduk dan tidak bercakap dengan saya. Dia menggalas beg sekolah warna biru merah dan tidak bawa apa-apa yang lain. Selepas itu, saya terus menghantar anak saya ke sekolah.
Saksi selanjutnya menyatakan sekembalinya dari sekolah pukul 12.35 tengah hari (menjemput dua anak lain pulang), dia melihat Ismanira turun semula dan terserempak di bahagian bawah blok berkenaan.
Menjawab soalan Raja Zaizul Faridah, suri rumah itu berkata, Ismanira tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika berselisih dengannya kali kedua (12.35 tengah hari).
Ujar Rashidah, ketika berselisih kali pertama, Ismanira memakai tudung hitam dan baju putih serta berseluar palazzo hitam.
Namun, katanya, ketika terserempak kali kedua, pakaian Ismanira sudah bertukar dan memakai tudung bercorak dan berwarna sedikit gelap selain membawa beg silang.
“Sampai di rumah, saya terima panggilan dari suami pukul 12.45 tengah hari dan dimaklumkan kehilangan Zayn Rayyan,” ujarnya.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai dekat sini antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette