Sebuah kafe di Lebuh Keng Kwee, Pulau Pinang diarahkan tutup susulan penemuan najis tikus.

GEORGE TOWN – Sebuah kafe di Lebuh Keng Kwee di sini diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini susulan penemuan najis tikus termasuk di belakang peti sejuk dan ruang penyimpanan.

Notis penutupan berkenaan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 menerusi operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M. Shashikumaran berkata, keseluruhan pemeriksaan pada premis itu didapati kurang memuaskan selain mereka didapati ada menjual makanan yang sudah melepasi tarikh luput.

Pembantu premis juga didapati tidak memakai pakaian pelindung diri yang lengkap bagi pengendalian makanan.

Operasi bersepadu itu dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Peti sejuk di premis itu juga padat dengan bahan makanan serta tidak mempunyai sistem FIFO (sistem penyimpanan dan penggunaan bahan makanan) selain kotor.

“Malah didapati tiada pengasingan bahan mentah pada peti sejuk berkenaan dengan makanan sedia dimakan (RTE),” katanya di lokasi serbuan di sini hari ini.

Selain itu, pemilik premis berkenaan juga menggunakan logo halal pada menu dan gegantung promosi makanan mereka meskipun bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Difahamkan, kafe tersebut sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan pernah memohon pensijilan Halal Malaysia pada Oktober lepas dan diaudit sebulan kemudian.

Bagaimanapun mesyuarat jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang memutuskan mereka gagal mendapatkan sijil halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast