JOHOR BAHRU – Pesta Perarakan Chingay Johor Bahru 2025 hari ini sekali lagi mencatat sejarahnya apabila lebih 400,000 pengunjung dalam dan luar negara membanjiri bandar raya ini.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim menyempurnakan simbolik perasmian pesta perarakan berkenaan yang sudah berusia 150 tahun dengan memalu gendang di pentas utama di Jalan Wong Ah Fook di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar; Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim serta Pengerusi Persekutuan Tionghua Johor Bahru, Ho Sow Tong.
Pesta Perarakan Chingay Johor Bahru kali ini menyaksikan lebih 85 kenderaan berhias dengan penyertaan 21 pasukan tarian singa dan naga daerah ini yang berarak sejauh kira-kira 7.8 kilometer bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek.
Perarakan kemudian melalui Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak dan kembali semula ke kuil itu
Sementara itu Sow Tong berkata, penganjuran acara itu melambangkan keindahan warisan budaya selain memaparkan keharmonian kaum dan pemahaman agama.
“Ia dianjurkan bagi mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama bangsa, persefahaman yang lebih mesra dalam kalangan etnik selaras dengan falsafah kerajaan Perpaduan.
“Ini menjadi saksi hubungan erat dan perpaduan Bangsa Johor,” katanya ketika berucap pada malam kemuncak Pesta Perarakan Chingay Johor Bahru 2025 malam ini.
Beliau berkata, pesta Chingay itu telah diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Kebangsaan pada 2012 dan dikenali sebagai antara tarikan pelancong di negeri ini.
“Kini, usaha untuk pesta Chingay ini diangkat sebagai Warisan Budaya Dunia untuk mendapat pengiktirafan UNESCO sedang giat diusahakan supaya ia dikenali di mata dunia,” katanya.
Pesta perarakan itu membawa maksud yang signifikan kepada masyarakat Tionghua kerana menggambarkan semangat permuafakatan antara kelima-lima suku dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.- MalaysiaGazette