KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyerahkan sumbangan RM49,350 kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok, Sandakan semalam.
Sumbangan itu sebagai sokongan MPOGCF kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh BSBCC dalam memulihara Beruang Matahari Borneo yang semakin diancam risiko kepupusan.
MPOGCF berpendapat, program rehabilitasi dan pelepasan semula yang dilaksanakan oleh BSBCC ini merupakan model pemuliharaan yang mampan dan berimpak tinggi.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan Dan Komoditi yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Datuk Abdul Hadi Omar kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Swie Te ketika mengetuai lawatan MPOGCF.
Turut menyertai lawatan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan Dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad; Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramli Kasin; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr Ramlee Moslim dan Andy Lee Yiew Meng serta Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Penglibatan MPOGCF yang mewakili penggiat-penggiat industri sawit Malaysia membuktikan keseriusan dan kesungguhan industri berkenaan dalam memelihara dan memulihara khazanah negara.
Ia juga menghantar isyarat yang jelas kepada dunia bahawa selain mementingkan keuntungan ekonomi, industri sawit negara juga tidak melupakan tanggunggjawab melindungi ekologi dan biodiversiti. – MalaysiaGazette