Daryl Yap

SHAH ALAM – Unipac Engineering Sdn Bhd (Unipac) bersedia berkongsi kepakaran dengan tiga syarikat yang dilantik Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM).

Berpengalaman lebih 50 tahun dalam industri automotif, Unipac kini sedang merangka kertas cadangan untuk dihantar kepada MOT dalam masa terdekat mengenai masa depan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan menggunakan teknologi lebih canggih.

Pengurus Besar Unipac Engineering Sdn Bhd, Daryl Yap berkata, pihaknya bersedia membantu serta memudahkan pembangunan tiga syarikat lantikan MOT yang telah diberikan tempoh selama 24 bulan bagi menyiapkan infrastruktur masing-masing.

“Unipac telah lama menjadi pemerhati standard ujian kenderaan di Malaysia dan melalui ujian kami terhadap piawaian global, kami dilengkapi kepakaran teknikal serta pengetahuan industri untuk dikongsi bersama-sama Kementerian Pengangkutan.

“Sebagai rakan pengedar ekslusif sistem ujian kenderaan Beissbarth GmbH iaitu syarikat dari Jerman, Unipac memiliki kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk menyokong perkembangan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di negara ini,” katanya kepada pemberita di Glenmarie di sini semalam.

Pada 7 Februari lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu untuk melaksanakan PPKM selaras dengan keputusan jemaah menteri pada 17 Mac 2023 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sekali gus menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Tiga syarikat terbabit adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd yang dipilih berdasarkan beberapa kriteria penting termasuk kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta serta berstatus sendirian berhad dan mempunyai pemilikan tempatan.

Dalam masa sama, Daryl memaklumkan pihaknya kekal komited dalam menyokong visi kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan sistem pemeriksaan kenderaan yang cekap, mudah diakses dan berkecuali.

“Tawaran kerjasama ini tidak terhad kepada lantikan fasa pertama melibatkan tiga buah syarikat malah Unipac bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan banyak lagi pihak yang mungkin menerima lantikan sama pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here