ISU RASUAH di Malaysia masih menjadi cabaran besar yang menjejaskan ekonomi, politik, dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Walaupun terdapat usaha membanteras rasuah melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai dasar antirasuah, kes-kes melibatkan individu berprofil tinggi masih berlaku.
Rasuah, dalam apa jua bentuknya adalah pintu ke arah kebinasaan. Ia telah menjadi kebiasaan dalam sebahagian besar masyarakat Muslim pada zaman ini. Banyak urusan tidak dapat diselesaikan tanpa perantaraan, pengaruh, atau pemberian rasuah.
Harta merupakan asas kehidupan, tonggak kemajuan sesebuah bangsa, dan dasar pembangunan tamadun. Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya untuk mencari rezeki dan mengumpul harta, tetapi melalui jalan yang benar dan kaedah yang halal.
Islam juga membimbing umatnya untuk membelanjakan harta dalam perkara yang memberi manfaat kepada manusia dan alam semesta, sekali gus memperoleh keredaan Allah.
Manusia secara fitrah mencintai dunia, berkeinginan kuat untuk mendapatkan lebih banyak kenikmatan sementara, serta tamak kepada segala yang diingini di dunia. Allah SWT berfirman:
“Dihiaskan kepada manusia kecintaan kepada syahwat, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang banyak daripada emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternakan, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan di sisi Allah ada tempat kembali yang terbaik.” (Ali Imran: 14)
Allah juga menyebut bahawa manusia secara fitrah mencintai harta sebagai perhiasan hidup dunia. Firman-Nya: “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Al-Kahfi: 46)
Harta yang dimaksudkan merangkumi wang, perniagaan, hartanah, atau apa sahaja yang dimiliki oleh seseorang.
Islam mengakui prinsip pemilikan peribadi dan menjadikan perkara ini sebagai asas kepada pembentukan ekonomi yang kukuh dan seimbang. Oleh itu, Islam menetapkan pelbagai undang-undang bagi melindungi harta dan hak milik individu, serta melarang pengambilan harta tanpa izin pemiliknya.
Antara ayat penting dalam hal ini adalah firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim untuk memakan sebahagian harta manusia dengan cara berdosa, padahal kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 188)
Firman-Nya lagi: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil, kecuali melalui perniagaan yang dilakukan secara reda meredai antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu.” (An-Nisa’: 29)
Dalam kedua-dua ayat ini terdapat dua isyarat penting. Pertamanya penggunaan perkataan “makan” dalam menggambarkan pengambilan harta secara batil menunjukkan bahawa manfaat utama daripada harta ialah untuk memenuhi keperluan hidup, termasuk makanan.
Namun, tindakan ini diharamkan apabila sumbernya adalah haram, kerana sesiapa yang makan dari sumber haram, maka tempatnya di neraka.
Keduanya, penggunaan perkataan “harta kamu” menunjukkan bahawa tidak dibenarkan mengambil harta orang lain secara batil kerana ini merosakkan prinsip saling menghormati dalam masyarakat. Apabila harta tidak dijaga, ia menyebabkan kehancuran.
Hadis Rasulullah SAW juga menegaskan hal ini: “Setiap Muslim ke atas Muslim lainnya haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim)
Salah satu bentuk mengambil harta secara batil yang perlu diberi perhatian ialah rasuah. Rasuah adalah memberi atau menerima sesuatu untuk mendapatkan hak yang bukan miliknya.
Walaupun sebahagian orang menganggap remeh perkara ini, ia membawa mudarat besar kepada masyarakat, merosakkan keberkatan hidup, dan mendatangkan azab yang pedih di akhirat.
Pegawai kerajaan adalah pekerja bergaji
Pegawai yang bekerja dalam sektor kerajaan adalah seperti pekerja bergaji yang diberikan tanggungjawab tertentu. Oleh itu, dia dipertanggungjawabkan atas tugas yang diberikan kepadanya. Tidak melaksanakan tugas dengan betul tetapi tetap menerima gaji adalah satu bentuk pelanggaran yang diharamkan terhadap harta awam.
Malah, kelalaian atau kelewatan pegawai dalam menyelesaikan tugas yang diberikan, terutama yang melibatkan hak orang lain, adalah tidak dibenarkan dari segi syarak, terutamanya jika kelewatan itu tidak bersebab yang munasabah. Berikut adalah alasannya:
Tindakan tersebut adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada pegawai.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga: Apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari, dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam al-Zahabi dan Ibn Hajar al-Haitami mengkategorikan pengkhianatan sebagai dosa besar. Imam al-Zahabi menyebut dalam kitab Al-Kaba’ir: “Dosa besar ke-39: Pengkhianatan.”
Seterusnya, kelewatan atau kelalaian dalam melaksanakan tugas juga termasuk memakan harta secara batil, yang dilarang dalam firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (An-Nisa’: 29)
Salah satu bentuk paling besar memakan harta secara batil ialah mengambil harta awam tanpa hak. Pegawai yang tidak melaksanakan tugas yang diberikan tetapi tetap menerima gaji adalah memakan harta secara batil.
Harta awam – yang dalam konteks ini adalah gaji pegawai – dilindungi oleh syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada lelaki yang menyalahgunakan harta Allah tanpa hak. Mereka akan dihumban ke dalam neraka pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyamakan harta awam sebagai “harta Allah”. Ini menekankan bahawa harta tersebut adalah milik semua rakyat, dan penggunaannya mesti mengikut syariat.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan dalam kitab Fath al-Bari: “Tidak dibenarkan mengambil harta Allah dan Rasul-Nya serta menggunakannya sesuka hati. Sesiapa yang berbuat demikian akan dihukum dengan neraka pada hari kiamat.”
Hukum pegawai yang mengambil wang tanpa hak
Apa-apa wang yang diambil oleh pegawai untuk melaksanakan tugas yang sememangnya telah diamanahkan kepada mereka bagi pihak orang lain adalah dianggap sebagai rasuah yang diharamkan.
Orang yang melakukannya adalah terkutuk, kerana prinsip asal dalam menyelesaikan keperluan masyarakat adalah bahawa ia harus dilakukan tanpa rasuah atau hadiah, selama pegawai itu menerima gaji atas tugasnya tersebut. Jika dia melakukannya dengan sengaja, dia berdosa dengan pasti.
Namun, jika seseorang tidak dapat memenuhi keperluan atau mendapatkan haknya kecuali dengan memberikan rasuah kepada pihak yang memegang kuasa, maka dibolehkan baginya untuk memberikan rasuah hanya dalam batas minimum yang diperlukan untuk menyelesaikan keperluannya itu, dan tidak lebih daripada itu.
Ini berdasarkan prinsip bahawa apa yang dibolehkan kerana darurat diukur sesuai dengan keperluannya, sebagaimana firman Allah SWT: “Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) bukan karena menginginkan atau melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah: 173)
Dalam hadis, laknat ke atas pemberi dan penerima rasuah dijelaskan: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, dan Ibn Hibban).
Malah dalam riwayat lain turut ditambah: “… dan orang yang menjadi perantara antara keduanya.” Laknat daripada Allah atau Rasul-Nya ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah sebuah dosa besar.
Bahaya rasuah terhadap masyarakat
Rasuah membawa kesan buruk yang besar kepada masyarakat. Oleh itu, tidak boleh ada sikap berlembut dalam menangani isu ini. Penting untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang menerima rasuah dan merosakkan sistem.
Dari sudut lain, pemimpin atau pemerintah bertanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan bantuan bagi menghentikan kerosakan ini. Pemberi dan penerima rasuah harus segera bertaubat kepada Allah SWT agar harta dan keluarga mereka diberkati.
Apabila rasuah merebak dalam sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu akan menjadi rosak, menuju kehancuran, dan kebinasaan yang pasti.
Hamba-hamba Allah: Allah SWT telah memikul amanah kepada manusia, termasuk amanah berkaitan harta. Apabila amanah ini diabaikan, maka masyarakat akan menjadi rosak, sistemnya akan terganggu, dan hubungan serta ikatan sesama ahli masyarakat akan terputus.
Oleh itu, Allah mengharamkan segala yang menjadi punca kepada kerosakan dan kehilangan amanah ini, termasuklah rasuah, iaitu memberikan wang untuk mencapai sesuatu yang batil, sama ada dengan memberikan sesuatu yang bukan haknya atau melepaskannya daripada tanggungjawab yang sepatutnya dipikulnya.
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain di antara kamu dengan cara yang batil dan janganlah kamu menghulurkannya kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta orang lain dengan (jalan) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 188)
Allah SWT juga mencela orang Yahudi dengan firman-Nya: “Mereka itu sangat suka mendengar berita bohong dan sangat suka memakan (mendapatkan) yang haram.” (Surah Al-Ma’idah: 42)
Oleh,
Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Penulis adalah Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]
-MalaysiaGazette