Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen televisyen yang melanggar sebarang garis panduan ditetapkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini kerana keingkaran mematuhi garis panduan dan syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang terlibat.

“Saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan OCBC Premier Private Client Centre di Bangsar di sini hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian sebagai mengulas isu penonton lelaki dilihat berpakaian seumpama wanita sewaktu menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-39 yang disiarkan secara langsung Ahad lepas.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/18/lelaki-berpakaian-wanita-di-ajl-tv3-minta-maaf-dan-kesal/

Fahmi berkata beliau kecewa dengan perkara tersebut kerana pihak stesen televisyen berkenaan sudah sedia maklum mengenai semua garis panduan yang terpakai.

“Seharusnya pihak Media Prima lebih bertanggungjawab. Saya amat kecewa dengan mereka yang menguruskan AJL (Anugerah Juara Lagu). Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka tahu, dan mereka membenarkannya, ini tidak baik,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya akan segera mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata JAKIM akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast