KUALA LUMPUR – Penggubalan Akta Anti Diskriminasi Kaum yang diminta oleh Ahli Parlimen kerajaan tidak akan bermakna sekiranya ada pihak yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Jelas Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), kewujudan mana-mana akta yang berkaitan dengan anti diskriminasi tidak akan mencapai matlamat sekiranya Islam sebagai agama persekutuan tidak dihormati.
“Apa gunanya penggubalan Akta Anti Diskriminasi Kaum sekiranya kamu sendiri gagal untuk menghormati dan mengiktiraf Pelembangaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu serta Islam sebagai agama persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Awal hari ini, Dewan Rakyat diberitahu tiada keperluan untuk kerajaan menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum ketika ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
Dalam pada itu, Mohd Isam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri juga melakukan perkara tepat dengan menolak cadangan untuk mewujudkan seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam.
Bagaimanapun, Mohd Isam berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan garis panduan tertentu bagi memastikan akidah umat Islam terpelihara.
“Sememangnya ada keperluan besar jika tidak untuk diri saya mungkin juga diperlukan oleh pegawai saya untuk membuat susun atur dan sebagainya.
“Saya bukan mahu memandang rendah tentang akidah umat Islam di negara ini namun pada pendapat saya, menerusi garis panduan tersebut kefahaman umat Islam mengenai agama lain akan lebih jelas dan memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette