Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum ketika ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kini sudah memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.

“Namun demikian, sekiranya keadaan mendesak dan Kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Aaron berkata demikan menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan yang ingin tahu sama ada Akta Anti Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat di kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap ekstremis serta rasis termasuk peristiwa terkini yang melibatkan seorang penjaja di Sepang.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, berhubung isu melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, kementeriannya telah mengerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Sesi permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis,” jelas Aaron.

Sementara itu, Aaron berkata, sesiapa yang sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa di bawah beberapa akta.

Antaranya Seksyen 295 Kanun Keseksaan, Seksyen 296 Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Subseksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here