Gambar tular menunjukkan seorang kanak-kanak putus kaki kanan selepas terlibat dalam kemalangan di Sungai Bakap, Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL  – Perjalanan dua beradik ke sekolah berakhir tragis apabila seorang putus kaki manakala seorang lagi putus tangan, selepas motosikal ditunggangi nenek mereka terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Besar Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Kejadian jam 7.15 pagi itu menyebabkan kanak-kanak berusia lima tahun itu putus kaki kanan manakala abangnya putus tangan di sebelah kiri.

Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori tersebut hendak keluar dari susur sebelah kiri jalan sebelum terlanggar sebuah motosikal yang berada di hadapan sebelah kanan kenderaan berat itu.

Impak kejadian itu menyebabkan wanita berusia 50-an yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan di kepala manakala dua cucunya mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seberang Perai Selatan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu jam 7.40 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan lori yang membawa muatan tanah merah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua mangsa kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan itu, kami memberikan rawatan awal kepada seorang wanita berusia 50-an yang merupakan penunggang motosikal itu memandangkan dia cedera di bahagian kepala sebelum menghantarnya ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar berhubung kemalangan tersebut tular di media sosial dengan rata-rata warganet meluahkan rasa simpati dengan insiden tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Alahai.. semoga cepat sembuh. Kpd pemandu kenderaan berat, peka sama kepada keadaan sekeliling. Mmg blind spot semua kena ambil kira tp apa salah anda peka lebih sikit esp kat laluan sekolah. Kesian adik adik 2 org ni, mana nak cari kaki dan tangan diorang.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here