Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 18 FEBRUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Zayn Rayyan Abdul Matin tidak pernah dilihat bermain di luar atau di taman permainan seperti kanak-kanak lain sebelum kehilangannya pada Disember 2023.

Rashidah Rajali, 37, berkata, sewaktu menemani anak-anaknya bermain di luar pada waktu petang, Zayn Rayyan tidak pernah kelihatan di taman atau bermain basikal di koridor Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.

Menurut saksi pendakwaan ke-16 (SP16), dia mengenali kanak-kanak itu dan mengetahui keluarganya menginap di blok dan tingkat yang sama (tingkat 2).

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Rashidah yang juga berjiran dengan keluarga kanak-kanak tersebut berkata, beliau tidak pasti mengapa Zayn Rayyan tidak pernah bermain di luar.

Raja Zaizul: Puan kenal Zayn Rayyan?

Saksi: Kenal, selisih dan pernah nampak.

Raja Zaizul: Anak-anak puan pernah bermain dengan dia?

Saksi: Tidak pernah, Zayn tidak pernah bermain dekat luar.

Pada sesi pemeriksaan utama, saksi tidak tahu rumah keluarga Zayn Rayyan secara tepat dan hanya mengetahuinya pada hari kejadian kanak-kanak itu hilang.

Menurut Rashidah, beliau hanya mengenali Ismanira dan anaknya namun tidak penah melihat suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.

Saksi turut mengcam Ismanira yang duduk di kandang tertuduh serta mengcam Zayn Rayyan ketika pendakwaan merujuk gambarnya di mahkamah.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan pasangan itu yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jiran nampak galas beg sekolah, Ismanira beritahu polis cerita lain

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here