PETALING JAYA – Unit Anjing Pengesan K9 gagal menjumpai sebarang petunjuk kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin ketika misi pencarian dilakukan di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Mahkamah Sesyen sebelum ini diberitahu, mayat kanak-kanak autisme itu ditemukan pada waktu malam 6 Disember 2023 iaitu hari kedua gerakan mencari dilakukan oleh unit berkenaan.
Lans Koperal Aznizam Bah Jada, 29, memberitahu, dia terlibat pada hari kedua pencarian yang bermula dari Blok R (kediaman Zayn) ke tebing sungai.
Saksi pendakwaan ke-20 (SP20) itu berkata, sebanyak tiga anggota dan dua anjing pengesan ditugaskan dalam gerakan mencari bermula pukul 11 pagi, 6 Disember.
Ujar Aznizam, sebelum memulakan pencarian, dia memberikan baju kanak-kanak itu yang belum dicuci yang mempunyai kesan peluh untuk dihidu oleh anjing berkenaan.
Kata saksi, pasukan K9 meneruskan operasi mencari di kawasan longkang berdekatan dan tiba di pagar zink di kawasan perumahan bersebelahan.
“Cuaca ketika itu cerah, sunyi dan tiada gangguan untuk melakukan tugasan. Kami melakukan pencarian di tebing sungai namun tiada indikasi di kawasan tersebut.
“Kami kemudian berpatah balik ke pangsapuri dengan melalui kawasan bawah tebing sungai sehingga ke titi.
“Saya terus ke kawasan blok rumah tempat tinggal ibu bapa Zayn Rayyan, rumah sampah, kawasan pondok serta belakang kawasan bangunan terbabit,” ujar beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pada sesi pemeriksaan utama, saksi berkata, hari pertama pencarian juga tidak menemukan sebarang petanda kerana kawasan persekitaran tercemar dengan kehadiran penduduk dan anggota polis yang meredah tempat berkenaan.
Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan, saksi berkata, anjing pengesan tidak melakukan pemeriksaan di setiap tingkat Blok R kerana perlu mendapat kebenaran pegawai penyiasat kanan.
Katanya, kawasan Apartmen Idaman kebanyakannya didiami penduduk beragama Islam dan kehadiran anjing pengesan menyebabkan tempat itu perlu disamak.
Terdahulu, seorang lagi anggota Unit K9, Lans Koperal Affendy Henry, berkata, usaha menjejaki kanak-kanak hilang pada hari pertama (5 Disember 2023) juga tidak menemukan sebarang petunjuk.
Ujarnya, pencarian bermula pukul 11.30 malam di belukar belakang Blok R hingga ke anak sungai dalam keadaan gelap sebelum hujan kira-kira 20 minit kemudian.
“K9 tidak jumpa apa-apa mahupun mangsa kerana di kawasan itu banyak kesan tapak kaki yang tidak diketahui milik siapa yang menyukarkan anjing pengesan menjejaki bau.
“Saya tamatkan pencarian kira-kira pukul 1.30 pagi kerana hujan lebat,” ujarnya.
Menurut Affendy, ketika terlibat dalam misi pencarian hari kedua kira-kira pukul 10 malam, dia dimaklumkan `Orang Hilang’ telah ditemukan.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok dengan sesi lawatan pihak mahkamah ke lokasi kehilangan Zayn Rayyan. – MalaysiaGazette