KUALA LUMPUR – Pengarah Kanan Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) agensi penguatkuasaan undang-undang itu berkuatkuasa 13 Februari lalu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Norazlan Mohd Razali yang telah bersara wajib pada 17 November lalu.
Azmi yang berkelulusan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), mula menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 29 Julai 1991.
“Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Perisikan. Beliau yang berpengalaman luas dalam sektor operasi dan sektor pencegahan juga pernah berkhidmat di SPRM Pahang, SPRM Sarawak, SPRM Perak, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Perisikan,” katanya.
Sementara itu, sembilan pegawai SPRM turut menerima watikah surat pemangkuan dan kenaikan pangkat serta penempatan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 13 Februari lepas.
Antara pegawai yang menerima watikah iaitu Datuk Idris Zaharudin yang dilantik sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perisikan SPRM; Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik sebagai Pengarah Kanan, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM; Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM dan Datuk’ Ahmad Sabri Mohamed dilantik sebagai Pengarah SPRM Perak
Lima lagi yang turut menerima watikah adalah Datuk Nazli Rasyid Sulong dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM; Ismajuri Ismail dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM; Datuk Saiful Ezral Arifin dilantik sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM; Rasidah Abdul Karim dilantik sebagai Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM dan Hairuzam Mohamad Amin@Hamim dilantik sebagai Pengarah SPRM Selangor.
“Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga SPRM merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette