Dr Zaliha Mustafa meninjau tapak pembangunan semula Carcosa Seri Negara Foto FB

KUALA LUMPUR- Selepas hampir enam tahun ditutup, Carcosa Seri Negara bakal berwajah baharu selepas kerja-kerja pembangunan bangunan warisan negara itu siap menjelang Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata usaha itu bagi menghidupkan kembali sejarah dan memastikan warisan itu terus dihargai, selaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) serta persiapan ASEAN-Malaysia 2025.

“Insya-Allah pembangunan semula Carcosa Seri Negara ini akan siap pada Julai tahun ini dan kami berusaha untuk buat satu program khas seperti majlis minum petang untuk memperkenalkan Heritage Malaysia kepada delegasi luar negara.

“Dengan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Khazanah Nasional menjadikan projek ini sebagai flagship (kemegahan) kedua dalam pemuliharaan warisan Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Dalam hantaran sama, Dr Zaliha turut memuat naik foto ketika meninjau tapak pembangunan semula Carcosa Seri Negara sebagai sebahagian daripada Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD).

Beliau berkata fasa pertama projek ini melibatkan usaha memulihara bangunan itu sebagai muzium serta galeri seni manakala fasa kedua pula bakal menyaksikan pembangunan Hotel Lindungan-Eko yang menggabungkan hospitaliti bertaraf dunia dengan prinsip kelestarian alam.

“Kerajaan komited menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar bandar raya moden, tetapi kota dengan identiti yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.

Bangunan bersejarah itu ditutup sejak 1 Jun 2019 selepas kerajaan Persekutuan mengambil alih premis itu daripada pihak ketiga.

Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dibina Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Swettenham.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here