Dr Akmal bertanyakan sesuatu kepada seorang lelaki yang ditahan bersama sebuah lori mengenai aktiviti haram mencuri kayu bakau dipercayai sudah dilakukannya beberapa kali sebelum ini di Kampung Ayer Tawar, Merlimau Jasin, semalam.

MELAKA – Polis Melaka memberkas seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri hasil hutan kayu bakau tanpa permit sah di hutan paya bakau di sepanjang Ayer Tawar hingga ke Sebatu, di sini, semalam.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan itu dicapai setelah hampir sebulan usaha intipan dilakukannya bersama pihak berkuasa.

“Alhamdulilah semalam petang pihak polis berjaya tangkap penyagak yang mencuri kayu bakau di sepanjang Ayer Tawar ke Sebatu, setelah hampir sebulan kita mengintip.

“Kepada jerung-jerung di atas yang menjalankan perkara ni, kamu tunggu aku akan kejar kamu sampai dapat! Ini baru ikan bilis kita tangkap untuk kita dapatkan jerung nanti…lu tunggu!,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya, hari ini.

Turut disertakan video berdurasi 2 minit 49 saat menunjukkan intipan dilakukan sejak 21 Januari lalu di kawasan itu memaparkan kesan kawasan pokok bakau yang sudah kosong dipercayai dicuri.

“Inilah akibatnya apabila orang yang tiada tanggungjawab hidup mencuri berdasarkan aduan daripada orang kampung memberitahu terdapat lori memasuki kawasan ini pada waktu Maghrib dan membawa keluar kayu bakau.

“Bila kita periksa (Jabatan Perhutanan Negeri Melaka) memang tiada langsung permit daripada jabatan bermakna kerja ini dibuat secara haram,” katanya.

Video itu menunjukkan Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau bertanyakan kepada seorang lelaki yang ditahan bersama sebuah lori mengenai aktiviti haram dipercayai sudah dilakukannya beberapa kali sebelum ini.

Lelaki itu turut mengakui tidak mempunyai permit untuk membawa keluar hasil kayu bakau itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kes hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here