KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan pembangkang agar tidak mempersoalkan kesahihan angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang disediakan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.
Rafizi berkata, jika ia terus dipersoalkan kredibilitinya, apa beza dengan data-data negara yang digunakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) ketika berkuasa di Putrajaya sebelum ini.
“Komen Putrajaya (ahli Parlimen) itu datang daripada seorang mantan Timbalan Menteri Ekonomi yang sebelum ini berada di tempat saya untuk membentangkan data-data sama dan dibuat kumpulan sama dan dilaporkan kepada piawaian sama.
“Kalau nak mempersoalkan seolah-olah data negara yang dibuat oleh penjawat awam sama yang bekerja dengan Putrajaya sebelum ini, itu saya tegur.
“Kalau tak boleh bersandarkan kepada angka rasmi, jangan sampai mempersoalkan pegawai-pegawai kerajaan yang menyediakan angka-angka ini,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen PN-Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bangkit mencelah dan mempersoalkan data-data untuk mengukur kadar inflasi di negara ini dan mendakwa ia tidak mencerminkan keadaan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
“Dari sudut kiraan juga, data-data inflasi dikira dengan piawaian antarabangsa yang telah digunakan.
“Cuma yang rakyat tanya di bawah sana ialah, data ini tidak menggambarkan apa yang berlaku di bawah sana.
“Dari sudut penjelasan teorinya kita faham, tapi rakyat di bawah sana merasai tekanan, apatah lagi tahun ini apabila kos tenaga (tarif elektrik) akan dinaikkan dan perluasan skop SST akan terus memberi tekanan,” katanya Mohd Radzi.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen PH-Pandan berkata, beliau tidak berkecil hati jika pembangkang acapkali memainkan sentimen kos sara hidup semata-mata untuk membuat kandungan di dalam platform media sosial TikTok.
“Sebab itu saya sebut, kita boleh mengatakan bahawa contohnya rakyat tertekan dengan kos sara hidup. Saya tak kecil hati pun perkara itu, memang itulah yang kita tumpukan.
“Saya faham untuk kita buat tiktok, kita kena kata rakyat sengsara, hidup seksa dan sebagainya, boleh tetapi kena juga bersandarkan kepada angka-angka ini,” katanya.
Lebih dikesali kata Rafizi apabila data DOSM yang disediakan penjawat awam bukan perkara mudah dan kerajaan tidak memandai-mandai mengumumkan data-data itu ketika membuat sesuatu unjuran ekonomi negara.
“Dari segi wajaran ini, bukannya kerajaan pandai-pandai buat, dia perlu melalui proses, sebab itu kita ada tinjauan pendapatan dan perbelanjaan 90,000 isi rumah selama satu tahun mewakili segala bentuk masyarakat kita.
“Berdasarkan inilah maka wajaran itu ditetapkan, wajaran disemak, hanya kerana kita berjumpa beberapa orang yang saya tidak nafikan dalam kelas tertentu mereka berasa tertekan.
“Tetapi angka yang diberikan baik inflasi atau angka rasmi yang lain-lain adalah angka yang mewakili keseluruhan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette