Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan RM44 juta bagi lawatan rasmi menteri ke luar negara pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu melibatkan 236 lawatan.

“Lawatan rasmi Ahli-ahli jemaah menteri adalah bertujuan untuk menghadiri mesyuarat berkala dan berjadual yang melibatkan Malaysia sebagai negara anggota dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Forum Ekonomi Dunia (WEF), dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).

“Kehadiran Ahli Jemaah Menteri sebagai wakil Kerajaan memainkan peranan penting dalam menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kedudukan negara di peringkat global,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Zaliha, lawatan ke luar negara merupakan sebahagian misi galakan perdagangan dan pelaburan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.

Daripada 236 lawatan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan 19 lawatan rasmi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan (39), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (18) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (12).

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, perbelanjaan lawatan Ahli Jemaah Menteri ke luar negara sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa, di samping mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dan berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here