KUALA LUMPUR – Laporan polis yang dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap Datuk Ngeh Koo Ham kerana beliau tidak menghormati sensitiviti umat Islam sehingga sanggup mencadangkan orang bukan Islam menjadi ahli jawatankuasa dalam menggubal undang-undang Islam.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, laporan polis tersebut juga dibuat kerana merasakan masa depan agama Islam sedang diancam dengan sesuatu yang bercanggah daripada Perlembagaan negara, Perkara 11 (4).
Tegasnya, Perlembagaan berkenaan menjamin kesucian agama Islam yang mana agama lain tidak boleh mempromosi atau berdakwah kepada orang yang menganuti agama Islam.
“Adakah kamu sedar selama hari ini orang Melayu Islam tidak pernah mencampuri urusan agama kamu, tetapi mengapa kamu dan pemimpin kamu ingin campur dalam urusan agama kami?
“Adakah kamu nak tunjukkan yang kamu ini adalah hero?, katanya dalam kenyataan hari ini.
Irwan Fahmi berkata, laporan dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa menyiasat mana-mana individu yang cuba mencabar agama Islam dan orang Melayu dengan kenyataan yang boleh memecahkan perpaduan kaum di negara ini.
“Dan kenyataan kamu apabila mencadangkan orang bukan Islam perlu dilantik untuk menggubal undang-undang Islam adalah satu kenyataan paling biadap, kurang ajar dan harus ada satu tindakan yang boleh memberikan kamu pelajaran dan kefahaman di atas kenyataan kamu itu melalui sistem perundangan yang ada,” ujarnya.
Katanya, Perkasa akan terus mempertahankan kesucian agama Islam dan jika keadaan tidak berubah juga, pertubuhan itu akan memainkan peranan untuk menyeru seluruh umat Islam dan Melayu untuk menolak DAP dan Pakatan Harapan pada PRU akan datang.
Malah, Majlis Raja-Raja Melayu turut digesa untuk bertindak ke atas kenyataan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati umat dan Islam di negara ini.
Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melayan desakan untuk menyiasat apa-apa laporan yang dianggap tiada ada kesalahan.
Beliau mahu polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya menyiasat laporan sekiranya terdapat kesalahan atas sebarang kenyataan individu.
“Jangan sia-siakan masa dan aset polis untuk semata-mata menyiasat kerana ada laporan polis.
“Saya bagi contoh bukan sebab ramai yang buat laporan polis terhadap sesuatu isu, polis pun bertindak. Satu contoh apabila Tan Sri Lim Kit Siang beri pandangan di London, penuntut tanya kepada beliau bolehkah orang bukan Islam jadi Perdana Menteri?
“Kit Siang jawab memang daripada segi undang-undang tidak ada dinyatakan mesti orang Islam (dilantik sebagai Perdana Menteri).
“Apa yang berlaku ialah ramai yang buat laporan polis terhadap beliau, dan polis panggil beliau untuk disiasat. Bagi saya, ia bagi satu pandangan dari segi undang-undang, tidak ada apa-apa kesalahan yang berlaku jadi tidak perlu polis untuk siasat,” katanya di Dewan Rakyat semalam. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
Polis jangan sia-siakan masa siasat hanya kerana ada laporan – Koo Ham