Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung permohonan lesen operasi lapangan terbang (Aerodrome) untuk Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menerima permohonan rasmi yang lengkap daripada Kerajaan Negeri Kedah melalui suratnya bertarikh 9 September 2024.

“CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah melaksanakan penilaian teknikal dan kewangan serta seterusnya mengemukakan ulasan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 4 dan 9 Disember 2024.

“MOT telah mengedarkan MJM berhubung permohonan ini kepada Kementerian atau Agensi Pusat untuk pertimbangan dan ditetapkan hala tuju sewajarnya,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri Sarawak sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu di Samarahan, Sarawak.

“Kajian ini dijangka selesai pada suku keempat 2025.

“Cadangan pembangunan LTAK akan dibincangkan dengan mendalam oleh MOT dan Kerajaan Negeri Sarawak selepas kajian kebolehlaksanaan tamat,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, pengambilalihan perkhidmatan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) oleh Kerajaan Negeri Sarawak tidak akan menjejaskan perkhidmatan udara luar bandar di semua laluan sedia ada.

“Kerajaan Persekutuan akan meneruskan subsidi perkhidmatan udara luar bandar sebanyak RM209 juta pada 2025

“Komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan penerbangan RAS di Sarawak dan Sabah yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut Loke, pengambilalihan MASwings juga mencerminkan iltizam dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak untuk memperkasakan perkhidmatan udara luar bandar khasnya demi manfaat rakyat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Ia sebagai mod pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk di kawasan luar bandar dengan dunia luar.

“Ia juga membuka ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk memperkukuhkan ketersambungan lebih luas ke destinasi domestik dan antarabangsa termasuk Jakarta, Hong Kong dan Singapura,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here