SEREMBAN – Seorang remaja perempuan orang asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia Isnin lepas, setelah seminggu demam akibat dijangkiti kusta, manakala lapan lagi sedang menerima rawatan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Jabatan Kesihatan negeri mengesan penularan jangkitan itu pada 2 Januari lalu, melibatkan lima penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan bakinya dari KOA Guntur.
Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, Pejabat Kesihatan Daerah melaksanakan kuarantin di kampung berkenaan, termasuk menutup pusat reakreasi Jeram Tengkek bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Sementara itu Exco Kanan kerajaan Negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika ditemui berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan saringan terhadap kira-kira 65 peratus penduduk dua kampung berkenaan pada 22 Jan.
Beliau berkata bekalan makanan dan keperluan penduduk di dua kampung itu akan diuruskan wakil rakyat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). – BERNAMA