KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula cadangan membina sekolah berkonsep baharu setinggi antara 10 hingga 17 tingkat di sini, pada masa depan.
Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, walaupun wujud keperluan untuk menangani isu kepadatan sekolah di kawasan bandar, namun cadangan itu menimbulkan beberapa kebimbangan termasuk keselamatan pelajar.
“Dalam konteks pendidikan, keutamaan harus diberikan kepada keselesaan, keselamatan dan keberkesanan proses pembelajaran.
“Pembinaan sekolah setinggi 17 tingkat boleh menimbulkan persoalan mengenai keupayaan menguruskan pergerakan pelajar khususnya murid sekolah rendah.
“Bayangkan anak-anak kecil terpaksa bergerak ke kelas di tingkat atas setiap hari, selain cabaran lain termasuk kerosakan lif atau kecemasan termasuk kebakaran.
“Ini bukan sekadar isu logistik, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta guru yang perlu diberi perhatian utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan DBKL bercadang membina sekolah dengan konsep baharu iaitu bangunan tinggi susulan keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, konsep itu digunakan secara meluas di Australia dan ia dibina secara konvensional, merangkumi padang serta blok bangunan dipadatkan menjadikan sekolah dua blok antara 10 hingga 17 tingkat.
Zulfadli juga berkata, cadangan itu perlu mengambil kira peranan sekolah dan bilik berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah dan fizikal pelajar.
“Dengan konsep sekolah bertingkat tinggi, ruang untuk aktiviti luar seperti sukan dan kokurikulum akan menjadi terhad.
“Ia boleh memberi kesan kepada keseimbangan perkembangan pelajar yang memerlukan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, bukan sekadar disesuaikan dengan kekangan ruang sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfadli berkata, isu kepadatan sekolah di sini boleh diselesaikan dengan cara yang lebih praktikal dan berkesan.
“Daripada memadatkan pelajar dalam bangunan tinggi, lebih baik kerajaan dan DBKL menumpukan usaha kepada pembinaan lebih banyak sekolah baharu di kawasan yang masih mempunyai ruang, termasuk di pinggir bandar.
“Pembangunan sekolah secara berkumpulan atau kluster juga boleh dipertimbangkan sebagai alternatif yang lebih sesuai untuk jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kementerian dan DBKL untuk menilai semula cadangan ini dengan mengambil kira pandangan ibu bapa, guru, dan pihak berkepentingan lain.
“Setiap keputusan yang dibuat haruslah berpaksikan kepada kepentingan anak-anak kita, bukan sekadar penyelesaian segera yang mungkin membawa lebih banyak masalah di kemudian hari.
“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu sedia berbincang dan memberikan pandangan demi memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang ke arah lebih baik dan mesra pelajar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette