Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra bersama peserta yang hadir pada Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi MADANI Kementerian Pendidikan Tahun 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Foto SADIQ SANI, 19 FEBRUARI 2025

NILAI – Cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah dengan kapasiti hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya perlu diteliti dari aspek keselamatan dan kesesuaiannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini sekolah paling tinggi di kawasan Wilayah Persekutuan (WP) adalah 10 tingkat.

“Sebenarnya sekolah bertingkat telah dilaksanakan di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP). Ada beberapa sekolah yang dibina secara bertingkat, paling tinggi 10 tingkat dan memang sudah ada di WP.

“Jadi, itu tidak ada masalah kerana kita memahami isu-isu berkait rapat di peringkat WP.  Ini bukan satu perkara baharu.

“Yang lain kita kena tengok dari semasa ke semasa berkaitan kesesuaian untuk anak-anak dan keselamatan,” katanya ketika sidang media di Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi Madani Kementerian Pendidikan Tahun 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Azman Adnan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak, menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.

Beliau berkata, cadangan berpandukan konsep diguna pakai beberapa negara maju itu akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan pelaksanaannya kelak.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM telah menangani isu kepadatan kelas di sebahagian sekolah.

Antara penyelesaian jangka masa pendek yang boleh menyelesaikan masalah tersebut adalah pembinaan kelas kabin dengan model Sistem Bina Berindustri (IBS).

“Kita telah mengesyorkan pembinaan sekolah kabin atau model IBS yang sebenarnya sangat memberi kesan kondusif untuk suasana pembelajaran dan mampu menangani masalah jangka masa pendek berkaitan kepadatan kelas.

“Tetapi komitmen kita tetap jelas untuk kita terus bina sekolah-sekolah baharu sebagaimana kita umum dalam belanjawan dan menyiapkan sekolah-sekolah sedia ada dengan menambah bangunan sekolah yang masih mempunyai ruang,” tambahnya.

Katanya, antara sekolah yang berkepadatan tinggi adalah sekitar Selangor.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here