Naib Ketua Sayap Bersekutu, Datuk eSri Sanjeevan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu bukti itu boleh diterima atau tidak dalam siasatan mahupun prosiding mahkamah, dakwa Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang mendakwa  video berkaitan dakwaan rasuah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah ‘tidak mempunyai kredibiliti’ dan tidak dapat dijadikan bukti dalam siasatan.

Menurut Sanjeevan, kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan, malah memberi gambaran seolah-olah SPRM telah mengambil alih peranan mahkamah dalam menentukan kebolehterimaan sesuatu bukti.

“Menentukan sama ada sesuatu bukti itu sah atau tidak adalah bidang kuasa mahkamah, bukan SPRM. Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bukan hakim untuk membuat keputusan tersebut.

“Tugas SPRM adalah menyiasat dan menyerahkan hasil siasatan kepada pihak pendakwaan serta mahkamah untuk diputuskan,” katanya dalam kenyataan.

Sanjeevan mengingatkan prinsip pemisahan kuasa di Malaysia perlu dihormati, yang mana mahkamah adalah pihak berkuasa yang berhak menentukan kesahihan dan kebolehterimaan bukti dalam sesuatu kes.

“Selagi memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau sepatutnya hanya fokus kepada siasatan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi berat sebelah,” tegasnya.

Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu turut menggariskan beberapa kes mahkamah yang menunjukkan kebolehterimaan bukti hanya boleh diputuskan oleh hakim, antaranya PP v. Datuk Harun Idris (1977), Sivakumar v. PP (2009), dan Wong Keng Leong v. PP (1996).

Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM supaya menjalankan siasatan secara profesional dan menyerahkan urusan perundangan kepada mahkamah.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat keadilan yang telus. Jangan ada percubaan untuk menggagalkan proses keadilan dengan kenyataan-kenyataan yang melangkaui bidang kuasa SPRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here