BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan pembinaan sebuah pusat penjagaan warga emas yang dinamakan Kompleks Husnul Khatimah pada 19 Februari 2025 bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Kompleks Husnul Khatimah yang bakal dibina seluas 1.13 ekar di Mukim Dengkil, Sepang, Selangor itu bukan sekadar pusat penjagaan tetapi juga sebuah institusi yang berperanan dalam mendidik dan membimbing masyarakat menghadapi fasa kehidupan yang semakin mencabar ini.
Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh Datuk Nooh Gadot, Ahli Lembaga Pengarah UTHM merangkap Pengerusi UTHM Prihatin dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UTHM.
Beliau dalam ucapannya menyeru masyarakat untuk bersama menyokong pembangunan kompleks itu melalui sumbangan sedekah dan wakaf demi kesejahteraan penghuni yang bakal menerima manfaatnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dalam ucapannya berkata kompleks itu juga akan menyediakan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan fizikal, mental dan spiritual warga emas.
Antara kemudahan utama yang akan disediakan termasuk pusat pengajian Islam, program bimbingan rohani, kaunseling, serta aktiviti yang menekankan nilai ukhuwah dan kebajikan.
Tambah beliau yang mewakili Naib Canselor ke majlis peluncuran tersebut, kompleks itu juga akan menjadi pusat latihan pengurusan jenazah dan wasiat, sekali gus sebagai usaha mendidik generasi muda tentang tanggungjawab terhadap golongan yang lebih tua.
“Lebih membanggakan, pembangunan kompleks itu tidak hanya bertumpu kepada kesejahteraan penghuni tetapi turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat melalui program kesukarelawanan, amal jariah dan wakaf.
“Dengan sokongan semua pihak, kita yakin bahawa Kompleks Husnul Khatimah akan menjadi model unggul dalam usaha menyediakan persekitaran yang holistik dan patuh syariah untuk warga emas,” katanya.
Turut diadakan, peluncuran Inisiatif Kampung/Mukim Angkat UTHM bertujuan meningkatkan jalinan kerjasama antara UTHM dan komuniti setempat serta memperkukuh pemindahan ilmu dan kemahiran melalui pendekatan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Pelaksanaan program Kampung/ Mukim Angkat UTHM yang melibatkan 31 kampung dari lima daerah di Johor itu juga bertujuan memberi manfaat langsung kepada penduduk melalui aktiviti kemasyarakatan dan bimbingan keusahawanan yang dapat mencungkil bakat baru serta membuka peluang ekonomi baharu.
Program ini menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan, memastikan komuniti luar bandar turut menikmati kemajuan sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi negara.
Untuk rekod, sebahagian daripada kampung terlibat telah mendapat khidmat nasihat untuk geran Sejati Madani, yang mana UTHM terlibat dalam pemindahan ilmu dan teknologi serta pelaksanaan program untuk kesejahteraan masyarakat seperti penyerahan lampu solar dan set hidroponik ke kampung-kampung sekitar UTHM.
“Peluncuran Kampung/ Mukim Angkat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif menyeluruh UTHM dalam memperkasa komuniti setempat selari dengan peranan universiti sebagai institusi pemacu perubahan sosial.
“Dengan komitmen tinggi terhadap agenda Universiti untuk Masyarakat (UA), UTHM berhasrat menjadikan kampung dan mukim angkat ini sebagai ekosistem pembangunan lestari yang berteraskan TVET dan inovasi,” tambah Abdul Rasid. – MalaysiaGazette