SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Lapangan Terbang Antarabsngsa Kuala Lumpur (KLIA) mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada 68 warga asing pelbagai negara di sini, hari ini.
Agensi itu dalam kenyataan hari ini memberitahu, dari jumlah tersebut, seramai 16 lelaki merupakan warganegara Pakistan, 45 lelaki Bangladesh, enam lelaki dan seorang perempuan dari India.
“Pengusiran warga asing itu hasil pemantauan pihaknya di Bangunan Terminal Utama Antarabangsa Terminal 1, KLIA antara jam 11 pagi hingga jam 1 tengah hari tadi.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Operasi Imigresen untuk menjalani proses usaha wajar setelah didapati tidak memenuhi syarat kemasukan pelawat asing ke Malaysia,” katanya AKPS KLIA dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, jumlah NTL yang dikeluarkan pihaknya mencatatkan rekod tertinggi dalam masa 24 jam sepanjang tempoh Januari sehingga 18 Februari 2025.
Selain itu, hasil siasatan ke atas warga asing yang diberi NTL mendapati, mereka menggunakan modus operandi dengan mengaku lawatan ke Malaysia bagi tujuan melancong.
“Bagaimanapun, mereka tidak meneruskan perjalanan ke kaunter pemeriksaan imigresen sebalikya menunggu di premis-premis makanan serta berlegar-legar di Balai Ketibaan sambil menunggu pihak-pihak tertentu untuk dibawa masuk,” katanya.
Dalam pada itu, AKPS KLIA juga berjaya mengesan dan memeriksa seramai 2,654 warganegara asing berdasarkan modus operandi sama sepanjang Januari hingga 18 Februari lalu.
“Hasil daripada pemantauan tersebut, seramai 900 warganegara asing atau 34 peratus telah diberi NTL kerana didapati bukan pelancong tulen dan gagal memenuhi syarat-syarat kemasukan,” katanya.
AKPS KLIA turut menegaskan, warganegara asing yang merancang untuk melancong ke Malaysia perlulah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“AKPS KLIA akan meneruskan pemantauan di pintu masuk antarabangsa bagi memastikan keselamatan pintu masuk negara berada di tahap maksimum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette