KUALA LUMPUR – Alumni Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta untuk menyumbang kepada Wakaf MARA Madani yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mac depan.
Pengerusinya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menyasarkan alumni Mara menyumbang sejumlah RM50 juta menjelang pelancaran.
“Kalau kita tengok alumni MRSM sahaja lebih daripada 220,000 orang. Alumni yang mendapat tajaan dan juga manfaat daripada penajaan-penajaan biasiswa Mara tidak kurang daripada 150,000 orang.
“Itu tak termasuk institusi-institusi lain seperti Giat Mara seluruh Malaysia kita ada 232, tak termasuk institusi dan kolej kemahiran Mara.
“Kebanyakan daripada alumni-alumni ini sudah pun menjadi orang-orang yang berjaya. Jadi hasratnya adalah supaya mereka juga boleh memberikan sumbangan kepada kelestarian institusi Mara untuk membantu agenda Melayu dan Bumiputera,” katanya pada Majlis Makan Tengahari Media Bersama Pengerusi Mara.

Menurutnya, peranan MARA sebagai mutawalli (pengurus) telah diluluskan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pihaknya akan pergi ke setiap negari bagi mendapatkan kelulusan.
Pada 2 Mac lalu kerajaan bersetuju menubuhkan Wakaf Mara Madani dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan geran peluncuran sebanyak RM100 juta dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.
Asyraf Wajdi berkata, Mara memerlukan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun untuk penyelenggaraan Maktab Rendah Sains Mara sahaja.
Semenentara itu selain melancarkan Wakaf Mara Madani turut berlangsung pada 15 Mac nanti adalah sambutan ulang tahun Mara ke-59 dan setahun pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputra.
“Maksudnya kita akan ada tiga dalam satu acara. Acara yang awalnya adalah sebagai laporan kad prestasi berkenaan pencapaian setahun segala resolusi yang telahpun diputuskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Memberikan mesej dan isyarat bahawa apa juga agenda yang telahpun kita bincangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputra kita ambil serius kerana sekretariat yang memantau agenda ini adalah terdiri daripada Kementerian Ekonomi dan Mara sendiri,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, peluncuran ini penting supaya dapat menggerakkan dana yang penting bagi membantu masyarakat Bumiputra khususnya dalam sektor pendidika keusahawanan.- MalaysiaGazette