Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap ketika sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan menggunakan indeks untuk mengukur kadar jenayah di Malaysia mengikut acuan dan tafsiran pihak berkuasa di negara ini bukan dapatan daripada pihak luar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, indeks jenayah yang diterbitkan pihak luar dikhuatiri tidak menggambarkan keadaan sebenar di negara ini sedangkan kadar jenayah khususnya di Selangor didapati menurun.

“Kita tak perlu panggil dia (Numbeo) sebab dia tidak terikat dengan kita, apa kita boleh buat adalah kita mentafsir dan menghebahkan keadaan jenayah sepertimana mengikut acuan dan tafsiran kita, sama ada dia menurun, menaik dan sebagainya.

“Sekiranya jenis-jenis jenayah yang dikategorikan boleh menunjukkan keadaan sesuatu satu kawasan mengikut tafsiran di Malaysia.

“Kalau dia menunjukkan menurun, maksudnya keadaan bertambah baik dari sebelum ini,” katanya pada sidang media di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa kerajaan menyiasat kesahihan Indeks Jenayah Numbeo 2025 yang mendakwa Kuala Lumpur dan Klang menduduki masing-masing di tempat ketiga dan keempat bandar paling berbahaya di Asia Tenggara.

Lip Eng berkata, sekiranya laporan itu berasas, ia bukan sahaja merungsingkan bahkan boleh menjejaskan keselamatan negara, selain ekonomi boleh terjejas khususnya sektor pelancongan.

Numbeo ialah pangkalan data kos sara hidup terbesar di dunia.

Numbeo juga merupakan pangkalan data global yang bersumberkan orang ramai bagi data kualiti hidup, penunjuk perumahan, persepsi kadar jenayah, kualiti penjagaan kesihatan, kualiti pengangkutan dan statistik lain.

Hussein menjelaskan, Indeks Jenayah Numbeo 2025 tidak menggambarkan kadar jenayah sebenar di Selangor termasuk Bandaraya Klang yang menunjukkan penurunan jenayah pada 2024.

“Kita perlu melihat daripada segi kategori apa mereka pakai untuk mentafsir keadaan jenayah begitu, siapa yang mereka temubual atau pun apa kayu ukur yang mereka guna.

“Apa yang saya boleh maklum bagi 2024, Selangor menunjukkan penurunan kes jenayah konvensional dalam 12 peratus berbanding dengan 2023,” katanya.

Menurut Hussein, penurunan jenayah konvensional disebabkan aktiviti pencegahan jenayah dipertingkatkan di Selangor sama ada dari segi rondaan motosikal, kereta peronda mahupun penyelarasan waktu rondaan mengikut trend jenayah.

“Di waktu-waktu diramalkan jenayah tinggi, rondaan polis di lapangan dan kawasan titik panas lebih kerap dan tinggi. Jadi pencegahan jenayah secara sistematik dan mengikut pola kejadian jenayah.

“Ia satu faktor penyumbang kepada kejayaan polis di Selangor dalam menurunkan jenayah indeks, terutama pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here