Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan mematuhi dan mengikut keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan pada Mei ini berhubung kes pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekali pun kerajaan menang dalam kes rayuan itu, penyelarasan pencen yang sudah dilakukan hari ini tidak akan terkesan atau ditarik balik.

Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, kerajaan sudah menyelaraskan pencen dengan cara yang sewajarnya bersabit kes itu seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Kaedah pencen bagi pesara sebelum dan selepas 1 Januari 2013 sebenarnya adalah sama. Formulanya, kaedahnya, cara dan kadarnya tidak pernah diubah dan telah dilaksanakan secara teratur seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982.

“Dalam kata lain, kerajaan berpendirian tidak ada pun perbezaan dalam formula pencen bagi anggota yang tamat perkhidmatan sebelum dan selepas 1 Januari 2013,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, disebabkan kerajaan berpendirian telah wujud pelarasan pencen dan pencen para veteran yang bersara sebelum Januari 2013 telah diberikan dengan cara dan kadar yang sepatutnya, maka kerajaan memerlukan ketetapan dan pencerahan daripada Mahkamah Rayuan.

“Kes ini adalah kes interpretasi undang-undang. Kerajaan memerlukan panduan dan perintah daripada Mahkamah Rayuan tentang apakah yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa tidak wujud pelarasan pencen.

“Dan apakah yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi dengan cara dan kadar seperti yang diselaraskan semua pencen pesara selepas 1 Januari 2013,” katanya.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Mei ini sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan dua pihak lain mengenai keputusan yang memihak kepada pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Pada 5 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana Muhammad Said memutuskan bahawa semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan/atau Perkara 8 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal membuat pelarasan pencen yang sewajarnya bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here