GEORGE TOWN – Kanak-kanak yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai tercekik gula-gula gummy mata masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.
Bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, anaknya sulungnya, Mohamad Fahmi, 10, masih menerima rawatan intensif meskipun doktor sedang berusaha untuk menyelamatkannya.
“Sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP) kelmarin keadaan anak saya itu terus membimbangkan.
“Doktor juga sudah memaklumkan mereka akan terus memberikan rawatan dan jika tiada perubahan, mungkin terpaksa menghentikan pemberian ubat untuk melihat bagaimana keadaan anak saya seterusnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HPP bersama isterinya, Noraini Mohamad Isa, 37, dan adiknya, Siti Farhanim Mohamad Fikri, 33.

Menceritakan hari kejadian, Mohamad Fakhruddin tidak sangka keengganan anaknya ke Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) menjadi pertemuan terakhir mereka.
“Saya sangka dia letih tambahan sesi persekolahan baharu sahaja bermula dan sebelum masuk ke kelas, dia palingkan muka melihat saya dan pandangan matanya itu yang buat saya teringat sampai sekarang.
“Saya tidak mahu ia menjadi kenangan terakhir selama-lamanya, Mohamad Fahmi perlu kuat kerana ramai yang menanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin turut meluahkan rasa sedih apabila melihat keadaan anaknya yang ceria sebelum ini kini terbaring tidak bergerak.
“Hati saya luluh melihatnya dalam keadaan begini. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah malah suara anak saya memanggil baba terngiang-ngiang di telinga namun apabila sedar itu semua sekadar mimpi.
“Walaupun melalui detik-detik sukar, saya dan isteri tetap berharap agar kami sedar dan pulih seperti sedia kala,” katanya.
Pada perkembangan sama, Mohamad Fakhruddin juga tidak menyalahkan sesiapa atas tragedi yang menimpa anak mereka, meskipun ada yang melemparkan tuduhan negatif.
“Kami sudah menderita, jangan tambah lagi beban dengan komen-komen negatif. Kami hanya perlukan sokongan dan doa semua pihak,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang kanak-kanak dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, dikatakan rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth kira-kira pukul 2.30 petang. – MalaysiaGazette