KULAI – Empat lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 23 tahun ditahan selepas tular video memaparkan kejadian seorang anggota polis dimarahi di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisiten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 4.40 petang sebelum membuka kertas siasatan bawah Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan empat suspek antara pukul 5.20 petang hingga 7.40 petang pada hari sama. Beberapa peranti turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Seng Lee, tiga suspek direman selama tiga hari, manakala seorang lagi direman sehari bermula 19 Februari bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar perselisihan faham dalam kejadian itu. Kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 37 saat memaparkan tiga lelaki bersama-sama seorang anggota polis bertegang leher di hadapan IPD Kulai.
Berdasarkan video terbabit seorang lelaki meninggikan suara ke arah anggota polis berkenaan. – MalaysiaGazette