Gambar hiasan

LONDON- Calon Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Sebastian Coe berkata Presiden AS Donald Trump betul daripada segi prinsip untuk melarang atlet transgender daripada bertanding dalam sukan wanita.

Awal bulan ini, Trump menandatangani perintah eksekutif yang melarang atlet transgender daripada menyertai sukan wanita termasuk memberi kuasa kepada pejabat Setiausaha Negara untuk memberi tekanan kepada IOC berhubung dasar penyertaan atlet pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028.

Perintah itu juga meminta semakan dan penyesuaian dasar “yang membenarkan kemasukan ke Amerika Syarikat bagi lelaki yang ingin menyertai sukan wanita”.

Coe dalam temu bual di saluran “YouTube Piers Morgan Uncensored” berkata Trump adalah “betul daripada segi prinsip” tetapi menyatakan “Saya tidak akan masuk campur dalam syarat yang ditetapkannya berkenaan visa dan sebagainya, itu adalah isu AS.”

Coe berkata: “Saya mengalu-alukan komitmen untuk mengekalkan integriti sukan wanita. Bagi saya, ini adalah soal integriti pertandingan.”

“Saya adalah seorang liberal sosial, saya tidak memilih, juga tidak mempunyai kecenderungan untuk memberitahu orang bagaimana untuk menjalani hidup mereka, tetapi apabila ia melibatkan biologi sukan, ia adalah sangat jelas. Sebenarnya saya terkejut ia menjadi perbincangan yang amat kontroversi.”

World Athletics akan mengetatkan peraturan kelayakan bertanding dalam sukan wanita dengan pengenalan kaedah mengesat pipi untuk menentukan sama ada seorang atlet adalah wanita secara biologi.

Ini bertujuan melayan atlet transgender dan atlet dengan perbezaan pembangunan seksual (DSD) dengan cara yang sama di bawah dasar baharu dan mengambil contoh kajian yang menunjukkan jurang prestasi antara jantina sebelum bermulanya baligh lagi.

“Apabila ia melibatkan kategori wanita dalam sukan elit, ia mesti dijaga dengan ketat,” kata Coe, yang merupakan seorang daripada tujuh calon presiden IOC, dalam temu bual dengan Piers Morgan.

“Sebabnya, saya rasa ia sangat penting adalah kerana anda tidak boleh membiarkan gadis yang memasuki sukan dan merasakan atau merasa pada bila-bila masa terdapat halangan tidak nyata (penyertaan atlet transgender) terhadap kemampuan mereka untuk berprestasi di tahap tertinggi.”

“Anda tidak boleh, anda tidak boleh mempunyai kekurangan kejelasan ini. Jadi (dalam) World Athletics, kami sangat jelas, kami mengikuti sains dan saya rasa itu adalah kritikal, saya rasa kami menggunakan bahasa yang sederhana. Kami bukan pelampau di sini.”

Pemilihan presiden IOC akan diadakan di Greece pada 20 Mac.

Antara isu yang perlu diatasi oleh semua calon adalah pendirian IOC terhadap Rusia.

Negara itu diharamkan daripada menyertai Sukan Olimpik musim panas yang lepas di Paris ekoran pencerobohannya ke atas Ukraine pada 2022, tetapi atlet Rusia secara individu dibenarkan untuk bertanding sebagai atlet neutral jika mereka memenuhi kriteria kelayakan.

Apabila ditanya oleh Morgan jika dia akan berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, Coe menjawab: “Anda perlu berbincang dengan semua orang… sudah tentu anda akan berbincang.”

–BERNAMA/dpa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here