Daniel Gooi.

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang menjalankan siasatan berhubung keselamatan produk gula-gula gummy berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kepada kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sini semalam.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen berkata, tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan kejadian serupa di masa hadapan.

“Hasil siasatan awal mendapati gula-gula tersebut dipercayai diperoleh dari gerai berhampiran sekolah mangsa. Susulan itu, pasukan penyiasat JKNPP telah melakukan pemeriksaan di premis yang dikenal pasti di Jalan Sungai Dua, Butterworth sebelum menyita ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ (gula-gula) tersebut.

“Selain itu, JKNPP juga akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut , Daniel Gooi turut menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan khususnya yang mempunyai risiko tercekik.

“Sebarang pengambilan makanan untuk kanak-kanak hendaklah berada bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

“Selain itu, bagi pihak kerajaan negeri, saya juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kanak-kanak yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy mata’, masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Selain itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mensensasikan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tercekik gula-gula kenyal ‘gummy’ berbentuk mata sehingga mengganggu ketenteraman awam dan mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here