ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan produk gula-gula gummy berbentuk mata di semua platform atas talian dan pasaran domestik.

Kementerian itu menegaskan, tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk akan dibuat berdasarkan peraturan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Katanya, siasatan KKM mendapati produk tersebut telah menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

”Saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan kecuali bagi ”konfeksi jeli terkawal” dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendak dilabel dengan ’AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK dan dengan perkataan ’TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH 3 TAHUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/21/kanak-kanak-tercekik-gula-gula-gummy-mata-meninggal-dunia/

https://malaysiagazette.com/2025/02/21/hujan-renyai-iringi-pengebumian-mohamad-fahmi/

KKM turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa untuk menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik. Bahaya tercekik adalah risiko yang signifikan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

Katanya, insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal , kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan.

”Sebarang pengambilan apa-apa makanan oleh kanak-kanak hendaklah di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

”KKM akan menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan makanan serta mengambil langkah pencegahan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang murid Darjah Empat, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, meninggal dunia selepas dipercayai tercekik gula-gula gummy berbentuk mata di Kepala Batas, Pulau Pinang, 11 malam semalam.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu menghembuskan nafas ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas rebah di kelasnya pada petang Khamis akibat tercekik gula-gula kenyal tersebut.

Menurut bapa mangsa, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, ia berdasarkan punca kematian yang tertera pada sijil kematian anak sulungnya adalah komplikasi tersedak dan pneumonia (hipoksia iskemia ensefalopati).- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here