Mohamad Fakhruddin bersama isterinya, Nuraini ketika ditemui pemberita di pekarangan tanah perkuburan Islam Kampung Binjai, Penaga, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Komplikasi tersedak dan pneumonia (hipoksia iskemia ensefalopati) dikenal pasti punca kematian Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin.

Menurut bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, ia berdasarkan punca kematian yang tertera pada sijil kematian anak sulungnya.

“Doktor maklum anak saya meninggal dunia disebabkan tercekik coklat (gula-gula gummy berbentuk mata),” katanya kepada pemberita sebaik selepas majlis pengebumian Mohamad Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad Fakhruddin tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

“Kita tak boleh salahkan siapa-siapa.. saya dan isteri reda dengan apa yang sudah tertulis buat keluarga kami.

“Ikutkan hati memang saya tak nak buat laporan polis tapi disebabkan kejadian itu berlaku di kawasan serta membabitkan sekolah saya terpaksa akur bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

“Meskipun tiada tindakan lanjut diambil namun besar harapan saya agar kejadian yang menimpa anak kami itu tidak berulang kepada anak orang lain,” katanya.

Terdahulu, jenazah Mohamad Fahmi yang maut dipercayai tercekik gula-gula gummy berbentuk mata selamat dikebumikan jam 3.20 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga di sini.

Jenazah disolatkan di masjid bersebelahan tanah perkuburan tersebut pukul 2.45 petang yang dihadiri lebih 150 jemaah terdiri daripada ahli keluarga serta penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian Mohammad Fahmi.

“Ia berdasarkan laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang hari ini.

“Setakat ini kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here