KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik Korea Aerospace Industries (KAI) bersama juruterbang penguji ketika lawatan kerja ke KAI pada 17 dan Februari lalu.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pengalaman secara langsung itu membolehkan PTU menguji keupayaan pesawat dalam aspek maneuverability, sistem avionik serta kesesuaian pesawat tersebut untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM.
“Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” demikian menurut kenyataan itu semalam.

Lawatan kerja TUDM yang diketuai PTU ke KAI itu bertujuan meninjau perkembangan pembangunan pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) TUDM yang dijangka akan diperolehi pada 2026.
Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting setelah termeterainya kontrak perolehan antara Kerajaan Malaysia dan KAI.
Ia turut menjadi platform untuk melihat sendiri kemajuan dalam proses pembangunan aset baharu TUDM yang bakal menjadi pemangkin kepada evolusi keupayaan operasi dan latihan pertempuran udara negara.
Menurut kenyataan itu, seiring dengan perolehan tersebut, seramai enam juruterbang TUDM dijadualkan menjalani latihan intensif di Korea Selatan pada Oktober depan bagi membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat baharu tersebut.
Selain itu, katanya, seramai 51 anggota kejuruteraan TUDM akan menyertai kursus senggaraan bermula Januari 2026, sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat ini dalam perkhidmatan TUDM kelak.
Tambahnya, lawatan itu turut memperkukuhkan hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan, apabila PTU turut mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services (KAEMS).
Ujarnya, kedua-dua syarikat itu memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M, memastikan kelangsungan operasi dan keberkesanan perkhidmatan pesawat tersebut dalam jangka panjang.
“Secara keseluruhannya, PTU berpuas hati dengan kemajuan pembangunan pesawat FA-50M.
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan aset baharu TUDM, tetapi juga menandakan era baharu dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.
“Dengan perkembangan positif ini, TUDM berada di landasan tepat untuk terus menjadi kuasa udara yang disegani di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette