SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran cecair vape terbesar di Selangor yang disyaki mengandungi methamphetamine dalam serbuan sekitar Serdang dari 17 hingga 19 Februari lalu.
Hasil rampasan keseluruhan adalah bernilai bernilai RM9.9 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan mempunyai makmal pemprosesan sendiri.
“Serbuan pertama di Seri Kembangan pada 17 Februari lalu membawa kepada tangkapan seorang wanita tempatan serta rampasan 60 kotak katrij vape.
“Pada malam yang sama, polis menyerbu premis pemprosesan sindiket ini dan menahan lima warga asing bersama 33,019 kotak cecair vape berdadah serta bahan kimia dan peralatan pemprosesan.
“Seorang lagi lelaki tempatan dipercayai ‘pembancuh’ utama, ditahan di Puchong pada 19 Februari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini.
Menurutnya, suspek telah mendapatkan methamphetamine dari luar negara sebelum mencampurkannya dalam cecair vape dan memasarkannya secara eksklusif di luar kedai vape biasa.
Sindiket itu juga beroperasi secara eksklusif dan tidak menjual produk mereka di kedai vape biasa.
“Mereka ada rangkaian pengedaran sendiri dan berbeza daripada penjualan vape secara dalam talian yang sah. Produk ini turut dijual dalam talian berisiko sampai ke tangan pelajar sekolah,” katanya.
Kesemua suspek berusia 21 hingga 37 tahun dan seorang daripadanya memiliki rekod jenayah.
Kesemua mereka ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Pihaknya turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras pengedaran dadah. – MalaysiaGazette