KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dicadangkan supaya melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, ia berikutan harga tiket penerbangan ke negeri berkenan yang diketahui ramai sebagai mahal dan membebankan.
“Harga tiket penerbangan yang tinggi terus menjadi kebimbangan rakyat Sabah terutamanya ketika musim pilihan raya dan perayaan utama.
“Mengambil kira terdapat lebih 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung sahaja namun kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik menjadi penghalang utama kepada penyertaan mereka dalam pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Mustapha berkata, laporan pada Oktober tahun lalu menunjukkan tambang penerbangan antara Sabah dan Semenanjung boleh mencecah sehingga RM1,700.
Undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah diperluaskan kepada yang menetap di Singapura dan selatan Thailand.
“Langkah ini membuktikan bahawa sistem undi pos boleh diperluaskan demi memastikan akses yang lebih adil kepada semua pengundi,” tambahnya.
Setakat Disember 2024, Sabah mempunyai 1.69 juta pengundi berdaftar dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 39 tahun.- MalaysiaGazette