BANGKOK- Kerajaan Thailand kini memperkukuh kerjasama dengan negara jiran bagi menghapuskan operasi sindiket penipuan pusat panggilan rentas sempadan yang mengeksploitasi kelemahan sistem sedia ada.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Thanathip Sawangsaeng mendedahkan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahananu Phumtham Wechayachai, menerajui langkah membanteras kumpulan itu.
Beliau berkata bahawa jenayah rentas sempadan itu telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Thailand serta ekonomi negara.
“Kerajaan Thailand telah melaksanakan langkah proaktif di bawah pelan ‘Cut Power, Cut Internet, Cut Fuel’ di lima kawasan utama, dengan kerjasama China dan Myanmar melalui mekanisme tiga hala demi membanteras rangkaian jenayah ini secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Phumtham juga mewakili kerajaan Thailand dalam perbincangan dengan Menteri Pertahanan Laos bagi meningkatkan kerjasama keselamatan, khususnya dalam menangani penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan jenayah siber.
Kedua-dua negara bersetuju untuk merangka memorandum persefahaman bagi menutup ruang yang membolehkan jenayah rentas sempadan berleluasa.
Bagi menghalang sindiket penipuan daripada memindahkan operasi ke negara jiran, Thanathip berkata Inspektor Jeneral Thatchai Pitaneelabut telah diarahkan menghadiri mesyuarat dengan Polis Negara Kemboja pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Thailand bukan sahaja menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tetapi juga membangunkan mekanisme kerjasama antarabangsa bagi memastikan sindiket penipuan pusat panggilan tidak kembali beroperasi di negara itu.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan Phumtham berikrar melindungi rakyat Thailand daripada rangkaian jenayah itu serta memastikan kumpulan berkenaan tidak lagi dapat memperdaya atau merugikan masyarakat.
“Mereka menegaskan bahawa langkah-langkah terbaru menunjukkan hasil yang jelas dan berjanji akan terus berusaha sehingga masalah ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Pada 5 Feb lalu, Thailand memutuskan bekalan elektrik ke kawasan di Myanmar yang dikenal pasti sebagai pusat operasi sindiket penipuan pusat panggilan, sebagai sebahagian daripada usaha membanteras jenayah.
— BERNAMA