PUTRAJAYA – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjangkakan berita baik kerana kadar dividen bagi tahun kewangan 2024 dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM57.5 bilion sehingga suku ketiga tahun lalu, iaitu pencapaian yang lebih daripada tempoh yang sama sebelum ini.
“Insya-Allah, akan ada berita baik berkenaan dividen KWSP tahun ini.
“Kalau dilihat dari segi ekonomi negara, Bursa Malaysia amat rancak tahun lalu, Initial Public Offering (IPO – Tawaran Awam Permulaan) yang banyak berlaku serta peningkatan bursa saham yang antara terbaik dalam rantau ini turut membantu prestasi KWSP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas tamat Larian ASEAN: Trek Kewangan@MOF di Dataran Wawasan Putrajaya, pagi tadi.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, KWSP tidak mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Seperti yang saya kata dalam Parlimen, KWSP untung RM102 juta daripada penjualan saham yang berlaku.
“Inilah aktiviti dagangan biasa yang dilakukan dalam negara sebagai dana ekuiti. Mereka jual, mereka beli, dan dari aktiviti ini, mereka menjana keuntungan,” jelasnya.
Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, KWSP juga telah berjaya menjana lebih RM650 juta daripada jual beli saham MAHB.
“Saya rasa KWSP telah menjelaskan isu ini dengan baik, jadi tidak perlu saya komen lebih lanjut,” katanya ketika menjawab desakan pembangkang untuk memanggil beliau disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung penjualan saham berkenaan. – MalaysiaGazette