KUANTAN – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sebuah kereta dikatakan hilang kawalan dan terbabas di kilometer 14.7 menghala naik ke Genting Highlands, Bentong semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dibuat pemandu kereta terbabit yang berusia 27 tahun pada pukul 11.05 pagi semalam.
Bagaimanapun, katanya, kejadian tersebut telah tular menerusi klip video berdurasi 12 saat di laman media sosialĀ memaparkan kereta terbabit dipandu secara melulu seperti sedang berlumba sehingga mengakibatkan kemalangan.
“Tindakan pemandu berkenaan adalah merbahaya kepada pengguna jalan raya lain. Pihak polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menghubungi pemandu itu untuk tampil memberi kenyataan,” katanya dalam kenyataan.
Zaiham berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut memohon mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas dan mengadakan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak dijadikan seperti litar lumba oleh oengguna jalan raya yang tifak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette