Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM – Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan pada pertandingan seni bela diri campuran (MMA) di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pergaduhan itu tercetus akibat pertengkaran yang berlaku antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan kerana ketidakhadiran pihak lawan atas alasan sakit.

Beliau berkata, pertengkaran itu kemudiannya bertukar kepada provokasi sehingga mendorong penyokong masing-masing iaitu kira-kira 15 individu bergaduh, sekali gus menyebabkan kecederaan kepada seorang peserta lelaki berusia 45 tahun.

“Bertindak atas maklumat pada 5.20 petang semalam, tangkapan dilakukan ke atas kedua-dua individu warga tempatan berusia 45 dan 40 tahun itu dengan masing-masing mempunyai empat dan lima rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Berdasarkan makluman, mangsa warga tempatan juga berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan terdapat penglibatan kongsi gelap sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini sehingga esok dengan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan aksi pergaduhan berkenaan, dengan beberapa individu dilihat saling memukul menggunakan kerusi plastik sebagai senjata. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here