Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad menyerahkan memorandum kepada wakil universiti sambil diiring oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua kiri), Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud (lima kiri) pada Majlis Penyerahan MoU antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Universiti Awam dan Universiti Berkaitan Kerajaan di bawah Program Celik MADANI di Menara PNB 118, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Seramai sejuta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan universiti berkaitan kerajaan (GLU) disasarkan menyertai Program Celik MADANI dalam tempoh lima tahun secara berfasa bermula September depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Program Celik MADANI itu merupakan inisiatif kerjasama kerajaan dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) ke arah meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda khususnya golongan mahasiswa.

Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, PNB menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan menyumbang sebanyak RM25 dan kerajaan akan memadankan baki sebanyak RM25 lagi supaya setiap penuntut menerima RM50.

Ujarnya, sebelum penghujung tahun ini, fasa pertama Program Celik MADANI itu dijangka selesai dan akan memberi manfaat kepada 200,000 mahasiswa.

“Menerusi program ini, mahasiswa baharu akan diberi sumbangan dana pelaburan awam sebanyak RM50 yang dikunci selama lima tahun.

“Jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun dan pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama empat tahun, diikuti dengan simpanan RM100 sebulan ketika mula bekerja selama enam tahun, mereka dijangka mampu mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap pada Majlis Penyerahan MoU antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Universiti Awam dan Universiti Berkaitan Kerajaan di bawah Program Celik MADANI di Menara PNB 118, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 FEBRUARI 2025

Beliau berucap pada majlis penyerahan memorandum perjanjian (MoA) Program Celik Madani antara PNB/ASNB dengan IPT di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Sementara itu, Amir Hamzah menyeru Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor IPT yang terlibat dalam Program Celik MADANI supaya sentiasa menggalakkan para pelajar untuk meningkatkan pelaburan bagi membina tabiat menyimpan dan melabur dari usia muda.

Dalam masa sama, beliau mengharapkan mahasiswa digalakkan untuk mengikuti pendidikan literasi seperti yang dijalankan oleh oleh PNB dan ASNB.

Ujarnya, literasi kewangan amat penting bagi generasi muda lebih-lebih lagi kepada mahasiswa supaya mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik demi kesejahteraan sendiri mahupun apabila berkeluarga kelak.

“Generasi muda harus memiliki kesedaran kewangan yang tinggi, dan kemampuan membuat keputusan kewangan yang bijak bukan sahaja dapat mengemudi kewangan diri sendiri dan keluarga tetapi diharap dapat memacu kewangan negara pada masa depan,” katanya.

Fasa pertama Program Celik MADANI akan melibatkan pelajar semester pertama Institusi IPTA dan GLU terpilih yang akan menerima pelaburan awal sebanyak RM50 yang dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) mereka dan dikunci selama lima tahun.

Antara IPTA yang mengambil bahagian dalam fasa pertama adalah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Sains Malaysia (USM);  Universiti Malaya (UM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA.

Sementara itu, empat GLU yang terpilih untuk program itu adalah Universiti Teknologi Petronas; Universiti Tenaga Nasional; Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Multimedia.

Fasa kedua Program Celik MADANI yang melibatkan institusi pengajian swasta dan vokasional terpilih juga akan dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here